Media Kini Sentiasa Update !!

Wednesday 22 July 2015

Kantoi seludup ‘bini’

Jitra: Tindakan seorang lelaki mengaku sebagai suami kepada seorang wanita warga Laos bagi mengaburi pihak berkuasa gagal apabila warga asing berkenaan ditahan dalam serbuan di sebuah kedai pakaian, di sini, malam kelmarin.

Serbuan menerusi Ops Jaja berkenaan dilakukan kira-kira jam 11.40 malam oleh sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri diketuai Penolong Pengarah Imigresen Nar Azaman Ibrahim selepas menerima maklumat.

Pengarah Jabatan Imigresen Kedah Mohamad Yusri Hashim berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menahan wanita warga Laos berusia 21 tahun berkenaan dan lelaki berusia 33 tahun yang mendakwa sebagai suami untuk siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita itu melakukan kesalahan imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.


"Lelaki berketurunan Cham dari Perlis berkenaan mendakwa sudah berkahwin dengan wanita yang sudah memeluk Islam terbabit sejak enam bulan lalu di Thailand.

"Dia (lelaki itu) juga mendakwa mereka dalam proses mahu mendaftarkan perkahwinan di negara ini, dan wanita terbabit turut mendakwa menyeludup masuk ke Malaysia.

"Siasatan juga mendapati wanita itu pernah diusir kerana melakukan kesalahan tinggal lebih masa ketika di Pulau Pinang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, wanita itu akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Seksyen 36 akta sama, manakala lelaki berkenaan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) akta sama kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Siasatan turut mendapati passport Laos milik wanita itu sudah dibatalkan. Kita juga akan menyiasat status warga negara lelaki berkenaan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tindakan lanjut.

"PATI selalu menggunakan taktik perkahwinan untuk terus kekal dalam negara ini dan menggunakan warga negara untuk dijadikan suami atau isteri kontrak," katanya.
Katanya, wanita berkenaan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan.

Sumber

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts